Monday, July 20, 2009

GURU KPLI AKAN DIKURANGKAN

Satu ketika dahulu, kenyataan ini pernah diutarakan:-

CYBERJAYA: Jumlah pengambilan guru bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) akan dikurangkan berikutan keputusan kerajaan membenarkan Institut Pendidikan Perguruan (IPG) mengeluarkan guru lepasan ijazah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata Parlimen sudah meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Akta 1996 dan satu daripada perkaranya adalah memberi peluang kepada IPG untuk mengeluarkan guru berkelulusan ijazah.


Sebenarnya KPLI hanya program sementara kerana apabila IPG dibenarkan melahirkan guru lepasan ijazah, kita akan kurangkan pengambilan KPLI.

Sekarang, IPG hanya mengeluarkan guru lepasan diploma dan sijil, namun semalam (kelmarin) kita mendapat kelulusan untuk mengeluarkan guru lepasan ijazah. Kami menjangkakan menjelang 2011 institut itu akan mula mengeluarkan guru berijazah,” katanya selepas mewakili Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail merasmikan Konvensyen Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sekolah Seri Puteri, di sini, semalam.

Ditanya sama ada KPLI akan dimansuhkan berikutan kebenaran IPG untuk mengeluarkan guru lepasan ijazah, Alimuddin berkata: “Tidak, sebab keperluan guru masih banyak, kita tahu ada sekolah baru dibuka tahun demi tahun…ada guru bersara, jadi keperluan guru memang meningkat dari semasa ke semasa.

Kita hanya mengurangkan (pengambilan) KPLI apabila IPG sendiri dapat mengeluarkan guru berijazah bukan memansuhkan program itu,” katanya.
Menyentuh mengenai kes keracunan makanan di sekolah yang kerap berlaku kebelakangan ini, Alimuddin berkata, siasatan mendapati kes keracunan berlaku akibat penggunaan peralatan memasak yang rosak dan sudah lama.

Sehubungan itu, semua kantin sekolah dan dewan makan yang berusia lebih 20 tahun akan dibaik pulih secara berperingkat bagi mengelakkan kejadian itu berulang pada masa depan.

Lebih banyak guru berkualiti di pedalaman

SEPANG 20 Julai - Sudah tiba masanya kerajaan menggandakan usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan mencukupi supaya mereka dapat ditempatkan di pedalaman dan luar bandar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global, keperluan semasa serta gagasan 1Malaysia demi merealisasikan apa yang digariskan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Pelajaran.
"Justeru, satu dasar penempatan guru yang responsif kepada keperluan rakyat perlu disediakan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, selain guru, kualiti pemimpin sekolah juga perlu dimantapkan kerana sudah tiba masanya pemilihan para pemimpin sekolah dilakukan tanpa terlalu berlandaskan kekananan.

Tegasnya, ia juga harus dibuat melalui proses yang lebih telus dengan memilih yang terbaik, berbakat serta mempunyai kualiti kepimpinan dinamik.
"Pemimpin sekolah perlu seorang yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi, cemerlang dan komited di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat menterjemahkan dasar pendidikan dalam tugas seharian.

"Ini nanti diyakini mampu memberikan didikan terbaik kepada murid," katanya.
Muhyiddin turut mencadangkan agar usaha diteruskan dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan, produktif, kreatif dan inovatif.

Beliau berkata, tumpuan utama perlu diberikan kepada usaha melahirkan pelajar yang holistik serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
"Pada masa sama, kementerian perlu meneruskan pembangunan infrastruktur memandangkan masih terdapat sekolah yang daif dan usang, tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.
"Akhirnya nanti kita perlu memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan warga pendidik dengan mewujudkan Kem 1Malaysia pada setiap tahun," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, walaupun penyertaan dalam pendidikan rendah adalah tinggi, namun masih terdapat lebih 125,000 kanak-kanak di negara ini yang mencapai umur persekolahan peringkat rendah masih tidak mengikuti alam persekolahan.
"Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman," ujarnya.

KEMENTERIAN PERLUKAN CALON KPLI BERKELAYAKAN

WALAUPUN jumlah permohonan memasuki program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Sekolah Rendah sepenuh masa meningkat saban tahun, Kementerian Pelajaran masih menghadapi masalah kekurangan calon berkelayakan dalam bidang pengajian tertentu.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim, berkata empat bidang pengajian dikenal pasti mengalami masalah itu ketika ini adalah Bimbingan dan Kaunseling, Pendidikan Muzik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Seni Visual.
Daripada 7,598 tempat disediakan kepada lulusan ijazah sarjana muda untuk mengikuti KPLI, bagi ambilan Januari tahun depan, kuota bagi Bimbingan dan Kaunseling serta Pendidikan Jasmani antara yang terbesar iaitu masing-masing 700 dan 500 tempat, sementara Pendidikan Seni Visual (380) dan Pendidikan Muzik (140).

“Tiada masalah kekurangan calon berkelayakan untuk mengisi kuota bidang pengajian lain termasuk subjek kritikal seperti Sains dan Matematik, namun seperti tahun sebelum ini, dijangkakan tidak semua kuota unjuran empat bidang pengajian berkenaan dapat diisi, mungkin kurang sedikit.

“Saya menyarankan mereka berminat mengikuti KPLI supaya memilih bidang ijazah dalam keempat-empat disiplin ini kerana selain dapat mengatasi masalah kekurangan calon, ia mencerahkan peluang mengikuti program berkenaan,” katanya kepada Berita Harian.
Misrah berkata, daripada 59,176 calon yang memohon memasuki KPLI ambilan Januari depan, 56,622 lulus ujian Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (MTeST), serta memenuhi syarat asas ditetapkan dan 15,791 disenarai pendek untuk temu duga dengan keutamaan diberi kepada ketepatan bidang kelulusan mereka dengan opsyen pengajian dipohon.

Beliau berkata, jumlah permohonan yang meningkat berbanding 56,726 tahun sebelumnya membuktikan kerjaya guru terus mendapat sambutan dan bukan pilihan terakhir apabila ada golongan profesional termasuk peguam serta jurutera turut memohon.

“Kita tetap terima permohonan mereka jika opsyen dipilih bertepatan dengan kepakaran dimiliki. Sebagai contoh, jurutera boleh memilih bidang sains,” katanya.
Beliau turut melahirkan kekecewaan apabila permohonan mengikut jantina menunjukkan calon wanita terus mengatasi dengan 47,108 berbanding hanya 12,068 lelaki.
Daripada jumlah itu, katanya, hanya 11,590 calon lelaki layak menduduki MTeST berbanding 45,032 (perempuan) dan seterusnya 4,812 daripadanya dipanggil menjalani temu duga berbanding 9,404 perempuan.

“Saya berharap lebih ramai calon lelaki akan memohon pada tahun akan datang kerana kerjaya sebagai guru ini bukan saja terjamin malah memberi mereka peluang berbakti kepada negara dengan mendidik generasi masa depan,” katanya.

Katanya, calon terbabit boleh menyemak keputusan tawaran pengambilan secara dalam talian menerusi laman web Kementerian Pelajaran mulai 24 Disember ini dan mereka yang berjaya dijadualkan mendaftar kemasukan serentak di semua IPG, 12 Januari tahun depan

KPLI:NUTP Tak setuju lanjut kursus 18 tahun

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah cadangan Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) daripada setahun kepada 18 bulan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata tempoh setahun sudah memadai kerana pelatih terbabit sebelum ini sudah menghabiskan masa empat tahun di universiti.
“Jika kita fikir secara logik mereka sudah belajar bertahun-tahun di universiti. Kalau dicampur dengan tempoh belajar pada peringkat KPLI jika ia dilanjutkan, hampir enam tahun baru mereka dapat merasa gaji,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Misrah Ibrahim, berkata pihaknya kini pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu dan paling awal ia akan dilaksanakan pada pengambilan Januari depan.

Misrah berkata, keputusan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak yang mendakwa tempoh setahun sekarang kurang berkesan dalam melahirkan guru berkualiti.
Hashim sebaliknya mencadangkan supaya tempoh latihan praktikal dilanjutkan, berbanding tiga bulan sekarang.

Beliau juga mencadangkan sistem pengambilan ke KPLI diperkemaskan bagi memastikan pelajar betul-betul berminat untuk menjadi guru.
“Saya mencadangkan supaya kementerian mengadakan minggu suai kenal selama dua minggu bagi memberi ruang kepada pelajar untuk menarik diri daripada menyertai KPLI jika merasakan tidak sesuai untuk berkhidmat sebagai guru.

“Sistem ini diguna pakai bagi pengambilan kadet anggota tentera dan polis. Jika yang terpilih semuanya terhadap profesion keguruan, maka kerajaan tidak akan rugi dan mereka pun cepat dapat berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob, juga berpendapat bahawa tempoh setahun pengajian KPLI sudah memadai.
Aminah bersetuju jika tempoh praktikal pelajar KPLI dilanjutkan bagi memberi pendedahan sewajarnya kepada bakal guru.

“Apa yang penting adalah kandungan dan penyampaian pedagogi dengan sempurna, pembelajaran secara mikro serta latihan tiga bulan di sekolah dapat membantu mereka menjadi guru yang berkualiti,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...