Friday, July 31, 2009

Golongan Risiko Perlu Berwaspada

KUALA LUMPUR 30 Julai - Orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi dijangkiti virus selesema babi atau influenza A (H1N1) digesa mematuhi setiap arahan berjaga-jaga yang dikeluarkan supaya mereka tidak menjadi mangsa wabak tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, golongan berkenaan seperti wanita hamil, mereka yang mengalami masalah obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan menghidap penyakit kronik termasuk paru-paru, jantung serta buah pinggang.

"Kerajaan telah melakukan apa yang patut untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya penularan H1N1 dalam negara termasuk menghebahkan kepada umum langkah pencegahan yang harus mereka patuhi.

"Kini, saya hendak meminta setiap rakyat supaya lebih bertanggungjawab dalam hal ini dan memandang serius wabak tersebut termasuk mematuhi setiap arahan serta langkah berjaga-jaga yang kami sarankan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sesi soal jawab interaktif The Star Live yang berlangsung selama kira-kira sejam melalui laman web www.thestar.com.my di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa bersikap telus dalam menangani wabak H1N1 termasuk memantau jumlah individu yang dijangkiti virus H1N1 di seluruh negara setiap hari.

"Kami faham betapa pentingnya untuk bersikap telus dalam menangani wabak ini kerana ia mampu mengancam nyawa manusia meskipun risikonya tidak setinggi wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan selesema burung.

"Bagaimanapun, kami amat memerlukan penyertaan orang ramai dalam membantu kerajaan bersama-sama mencegah penularan wabak H1N1 secara meluas," jelas beliau.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan kini dalam fasa mitigasi wabak H1N1 dengan tumpuan rawatan kepada bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital dan kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) dalam masyarakat.

"Kes kematian akibat H1N1 yang berlaku di negara ini berpunca daripada kelewatan pesakit mendapatkan rawatan sehingga mengakibatkan mereka mengalami pneumonia yang serius," katanya.

Tiong Lai memberitahu, pihaknya bimbang penularan wabak H1N1 di negara ini akan berubah menjadi wabak dalam komuniti iaitu penularan jangkitan tempatan secara meluas yang menyebabkan setiap orang berisiko untuk dijangkiti.

"Justeru, tanggungjawab ahli masyarakat untuk menangani wabak H1N1 sangat penting kerana mereka boleh memainkan peranan utama menyekat penularan wabak itu," katanya.

Beliau berkata, hospital-hospital kerajaan yang diarahkan untuk memberi rawatan kepada pesakit H1N1 atau mereka yang mengalami ILI tidak boleh lari daripada tanggungjawab mereka untuk memberi perkhidmatan yang sepatutnya.

"Hospital kerajaan tidak boleh merujuk pesakit yang datang mendapat rawatan kepada pusat perubatan swasta dengan apa alasan sekalipun kerana mereka tidak mampu mengesan jangkitan tempatan H1N1 secara efektif," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...